-->
Booking.com

Tuesday, June 15, 2010

Sejarah Asal Daerah Besut

Bukti bertulis yang paling awal menyentuh mengenai Daerah Besut ini ialah catatan:

1) Pelayaran Abdullah Ke Kelantan
oleh Munsyi Abdullah

2) Tuffatul Nafis
oleh Raja Ali Haji

Sejarah awal Daerah Besut agak kabur disebabkan tidak terdapat bukti-bukti bertulis. Terdapat berbagai-bagai cerita yang menerangkan asal usul Besut. Salah satu cerita terkenal mengenai asalnya nama Besut ini ialah kononnya berpunca dari zaman dahulu di mana dikatakan Daerah Besut ini merupakan salah satu kawasan di bawah kuasa Kerajaan Siam.

Mengikut salah satu cerita nama Besut timbul dari perkataan ”BE” yang dalam bahasa Siam bermakna daerah manakala ”SUT” menggambarkan satu tempat atau kawasan yang paling jauh atau penghujung. Ini mungkin betul berdasarkan faktor betapa jauhnya Bangkok yang merupakan Pusat Pentadbiran Siam dengan Daerah Besut ini.

Cerita lain mengenai asal usul nama Besut ialah kononnya kawasan ini dahulunya diperintah oleh seorang raja yang digelar Raja Sang Nyanya. Beliau ialah ketua lanun yang sangat zalim dan ini menyebabkan tidak ramai orang yang tinggal di kawasan ini.

Selepas kematiannya barulah kawasan ini didiami orang dan salah satu kumpulan penduduk terdiri dari orang Pangan yang diketuai oleh seorang yang bernama BESUT. Dipercayai nama BESUT adalah berasal dari nama ketua orang Pangan tersebut.

Namun kesemua cerita yang mengaitkan asal usul nama Daerah Besut ini memang tidak dapat dibuktikan kerana tidak ada bukti yang bertulis.

Dalam catatan ini ada diceritakan mengenai sekumpulan pedagang dari Pattani (Selatan Siam) telah datang ke Besut dengan diketuai oleh Cik Latif yang dipercayai berasal dari Sumatera. Cik Latif dikatakan berjaya memujuk orang-orang Pangan keluar dari daerah ini ke Hulu Besut dengan hanya menawarkan segantang mata kail.

Beliau dan orang-orangnya berjaya membina sebuah perkampungan di tebing Sungai Besut yang dinamakan Palembang. Palembang merupakan pusat pentadbiran Besut yang pertama sebelum Kampung Raja.

Setelah Cik Latif meninggal dunia, beliau diganti oleh anaknya yang bernama Cik Kamat. Daerah Besut berada dalam keadaan huru-hara semasa pemerintahan Cik Kamat kerana ancaman dari perompak lanun yang bermaharajalela di pulau-pulau yang berada di sekitar laut Daerah Besut.

Dalam buku ’Pelayaran Abdullah Ke Kelantan’, Abdullah Munsyi ada menceritakan kegiatan lanun-lanun di kawasan ini. Dikatakan lanun-lanun ini diketuai oleh Panglima Ebeh dan Panglima Garang. Untuk menghadapi ancaman lanun-lanun ini, Cik Kamat telah membuat keputusan meminta bantuan dari Terengganu.

Sultan Terengganu iaitu Sultan Mansur 1 (memerintah dari tahun 1726-179) yang dikenali sebagai Marhum Berjanggut bersetuju membantu Cik Kamat dengan menghantar angkatan tentera yang diketuai oleh Putera Baginda iaitu Tengku Kadir. Tengku Kadir dan tentera dibawah pimpinannya berjaya mengalahkan lanun-lanun tersebut dan memaksa lanun-lanun tersebut berundur ke Pulau Perhentian.

Sebagai penghargaan diatas kejayaan beliau mengalahkan lanun-lanun berkenaan, Tengku Kadir telah diberi kuasa oleh Sultan Terengganu untuk memerintah Besut. Cik Kamat pula dilantik sebagai Orang Besar Besut serta mendapat hak ke atas Pulau Rhu.

Tengku Kadir yang menjadi Raja yang pertama Negeri Besut mengambil langkah untuk memperkuatkan kedudukan dan pemerintahannya dengan membina benteng di sepanjang Sungai Besut berhampiran dengan Kota Palembang dan kemudian mendirikan tempat kediaman yang baru di Kampung Raja.

Tengku Kadir yang mangkat pada 1835, telah digantikan oleh puteranya Tengku Ali. Semasa pemerintahannya telah berlaku peperangan antara Besut dengan Terengganu. Mengikut Tuan Haji Salleh bin Haji Awang dalam buku ”Mengkaji Sejarah Terengganu”, peperangan ini dikenali sebagai Peperangan Besut. Institusi Beraja di Besut bergolak semasa pemerintahan Tengku Ali.

Peristiwa pemberontakan beliau terhadap Sultan Omar di Kuala Terengganu berlaku pada 23 Syawal 1292/1876 masihi akibat dasar Sultan Omar yang memerintah daerah-daerah secara langsung.

Tengku Ali secara rahsia berusaha mendapat bantuan dari Kelantan untuk menjatuhkan Sultan Omar. Tengku Ali tidak hadir semasa istiadat melantik Tengku Ahmad sebagai Yang Dipertuan Muda Terengganu. Sultan Omar telah menghantar rombongan ke Besut dan mendapati Tengku Ali sedang mengumpulkan pasukan bersenjata dari Kelantan.

Sultan Omar terus menghantar surat bantahan kepada pemerintahan Siam dan Singora dan memberi amaran kepada Kelantan supaya tidak campurtangan dalam hal ehwal tanah jajahannya.

Sultan Omar menyiapkan 8000 orang tentera yang dketuai oleh Panglima Besar Orang Kaya Megat Seri Mahkota Raja (Wan Abd. Rahman bin Ali) untuk menyerang Besut melalui laut. Tengku Ali melarikan diri ke Kelantan. Selepas peristiwa ini, pemerintahan Besut diwakilkan kepada Tengku Ngah.

Apabila Tengku Ngah memerintah Besut, berlaku perebutan kuasa antara Baginda dengan Tengku Muda. Dalam keadaan genting, Tengku Ngah menyerahkan kuasa kepada adiknya Tengku Chik Haji. Tengku Muda berkuasa di Kampung Lampu manakala Tengku Chik Haji di Kampung Raja. Persengketaan ini amat meruncing dan menyebabkan Sultan Terengganu sendiri datang ke Besut untuk menyelesaikannya.

Sultan Terengganu telah membuat cara penyelesaian yang baik tentang siapa yang berkuasa dimana baginda melantik Tengku Chik Haji sebagai Raja disebabkan kedudukan Kg. Raja di timur matahari naik sedangkan kedudukan Kg. Lampu di barat matahari jatuh.

Kenaikan Tengku Chik Haji sebagai pemerintah Besut telah menyebabkan Besut mendapat kemajuan. Beliau mempunyai kuasa raja untuk menjatuhkan hukuman kepada orang yang melakukan kesalahan. Hasil yang dipungut tidak lagi menjadi hak mutlak sultan.

Beliau juga mengambil berat mengenai Pendidikan Islam di mana di Kg. Palembang misalnya, pondok-pondok didirikan untuk mengajar agama. Wakaf-wakaf, Balai Polis dan lain-lain juga dibina. Istana yang pertama dibina pada 1878 dan masih ada hingga sekarang.

Pemerintahan terakhir dalam dinasti beraja Palembang ialah Tengku Ngah. Beliau seorang pendiam tapi mengambil berat tentang kebajikan penduduk Kota Palembang dan Kg. Raja. Beliau dapat mengekalkan kemajuan dan keamanan Besut sebagaimana yang diasaskan oleh Tengku Chik Haji.

Dikatakan pada waktu itu wakil Sultan di Kuala Terengganu sering datang ke Besut untuk mengutip hasil dari pemerintahan di Besut sebagai perbelanjaan membuat Bunga Emas untuk dihantar ke Siam. Tengku Ngah dikatakan mangkat pada tahun 1899 setelah memerintah Besut selama kira-kira 19 tahun.

Setelah kemangkatan Tengku Ngah, Besut ditadbir oleh Pesuruhjaya iaitu wakil kepada Sultan di Kuala Terengganu. Bermula dari sini kedudukan Besut sebagai sebuah negeri pun berakhir.

Pesuruhjaya Besut yang pertama ialah Tengku Long atau gelarannya Tengku Seri Indera Segera. Kemangkatan Tengku Long pada 1909 telah menyebabkan Besut ditadbir terus dari Terengganu.

Perjanjian Bangkok pada tahun 1909 di antara British dan Siam menyaksikan negeri-negeri utara Persekutuan Tanah Melayu jatuh sebagai Tanah Jajahan British. Sebagai satu daerah dalam Terengganu, Besut turut menerima perubahan di mana Kerajaan British menghantar Penasihat kepada sultan dan segala pentadbiran kecuali mengenai adat resam dan agama Islam.

Pada tahun 1910, kebakaran besar telah berlaku memusnahkan sama sekali Kota Palembang. Ini menyebabkan penduduk-penduduk berpindah ke Kg. Raja dan lain-lain kawasan. Keturunan raja tidak lagi mempunyai kuasa dan kebanyakannya masih lagi menetap di Kg.Raja sehingga sekarang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Popular Posts