-->
Booking.com

Sunday, June 13, 2010

Sejarah Asal Daerah Marang

Asal usul nama Daerah Marang ini dipercayai berasal daripada nama seorang peniaga berketurunan Cina yang sangat terkenal pada masa dulu. Peniaga ini dipanggil "Ma".

Beliau tinggal di kuala sungai dan merupakan seorang pengusaha hasil laut yang di keringkan seperti ikan dan sotong. Pada masa itu di rumah beliau banyak terdapat tempat jemuran hasil-hasil laut tadi yang dipanggil "rang" oleh penduduk tempatan. Dipercayai oleh kerana banyak nya "rang" itu dan terkenalnya pengusaha Cina yang bernama "Ma" tadi maka terbitlah nama Marang.

Sejarah pentadbiran Daerah Marang diketuai oleh pembesar-pembesar daerah yang dilantik oleh Tuanku Al-Sultan telah bermula sebelum dari pemerintahan Baginda Omar (1839-1876 M) berasaskan kepada pemerintahan kawasan sungai.

Semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III dari tahun 1881 hingga 1918 M, Yang Dipertuan Muda Tengku Mohamad telah diberi kuasa menjaga kawasan Sungai Marang manakala Tengku Putra yang diwakili isterinya iaitu Puteri kepada Tengku Long dan Tengku Safiah diberi kuasa menjaga kawasan Sungai Merchang.

Mereka bertanggungjawab menjalankan pemtadbiran kutipan cukai dan hasil. Penghulu-penghulu tidak mempunyai kuasa mentadbir. Kuasa mereka hanya terhad kepada kampung-kampung tertentu sahaja.

Pada tahun 1912, sistem pentadbiran daerah oleh pembesar-pembesar daerah telah digantikan oleh Pegawai Daerah yang juga mentadbir berasaskan pemerintahan kawasan sungai. Pegawai Daerah Marang yang dilantik itu akan mentadbir kawasan sungai yang terangkum di dalam Daerah Marang termasuk Merchang.

Pada tahun 1923, ketika pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah dari 1920 hingga 1942, Penasihat British yang pertama di Terengganu iaitu J.L. Humphreys telah memperkenalkan sistem pentadbiran wilayah yang baru di mana Daerah Kuala Terengganu, Kuala Berang dan Marang diletakkan di bawah Jajahan Tengah dengan pusat pentadbirannya di Kuala Terengganu.

Daerah-daerah lain seperti Kemaman, Kemasik, Paka dan Dungun telah diletakkan di bawah Jajahan Timur dengan pusat pentadbirannya di Kemaman. Manakala Besut dan Setiu diletakkan di bawah Jajahan Barat dengan pusat pentadbirannya di Kampung Raja.

Setiap jajahan tersebut diketuai oleh seorang Pesuruhjaya dengan dibantu oleh Penolong Penasihat British dan Pegawai Daerah masing - masing.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Popular Posts