-->
Booking.com

Friday, June 11, 2010

Sejarah Asal Daerah Setiu

Setiu berasal dari nama seorang Pahlawan Bugis iaitu Tok Setiu. Peperangan yang berlaku di antara Belanda dan Bugis pada tahun 1770an yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada Belanda telah menyebabkan ramai orang Bugis lari meninggalkan negeri mereka.

Di antara mereka ialah seorang Pahlawan Bugis bernama Tok Setiu. Selain dari kalah berperang, faktor yang menyebabkan beliau lari ialah kerana beliau tidak mahu hidup bertuankan Belanda.

Setelah beberapa lama belayar, Tok Setiu dan orang-orangnya pun tiba di Negeri Terengganu. Negeri Terengganu pada masa itu di bawah pemerintahan Sultan Ahmad II iaitu Sultan Terengganu yang ke-10 (1875-1881). Apabila Tok Setiu mendarat di Terengganu, beliau telah menemui Baginda Sultan Ahmad II untuk memohon tinggal di Terengganu. Baginda Sultan Ahmad II telah bersetuju dan memperkenankan permohonan Tok Setiu dan orang-orangnya. Baginda menitahkan Tok Setiu supaya mencari tempat yang sesuai utnuk dibuat perkampungan.

Dengan persetujuan Sultan Ahmad II, beliau telah membuka sebuah perkampungan yang dinamakan Kampung Bukit Tok Setiu. Pada peringkat awal pendudukan Tok Setiu di Kampung Bukit Setiu, beliau telah dilantik sebagai Ketua Kampung. Pada ketika inilah Tok Setiu mendapat tentangan daripada Tok Itam dan orang-orangnya kerana berebut satu kawasan. Peperangan yang amat hebat berlaku selama 7 hari 7 malam. Dalam peperangan tersebut pihak Tok Setiu hampir menerima kekalahan.

Memandangkan hal yang demikian Tok Setiu telah memohon bantuan daripada Tok Serban Kuning dari Mukim Batu Bertindan, Bukit Mahsuri. Dengan bantuan yang diberikan oleh Tok Serban Kuning maka pihak Tok Itam telah mengalami kekalahan. Kemenangan Tok Setiu telah mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai Ketua Kampung. Pengaruh beliau semakin kuat dan pengikutnya bertambah ramai.

Kekalahan Tok Itam telah menyebabkan anak buahnya menyimpan dendam dan mereka telah membuat batas sempadan dengan menanam suatu azimat. Tujuannya adalah untuk mencegah daripada kemasukan binatang-binatang dari kampung lain. Ini jelas terbukti apabila seseorang yang hendak membawa masuk kerbau dan lembu dengan tujuan untuk membelanya ataupun kenduri kendara, binatang itu apabila melangkah saja ke garis sempadan tersebut terus mati. Peristiwa ini telah berlaku berulang-ulang kali.

Semasa pimpinan Tok Setiu, beliau telah meninggalkan banyak jasa antaranya membuat tandak-tandak sungai, adalah bertujuan untuk memudahkan pengaliran air dari sungai ke sawah-sawah. Selain dari bertugas sebagai Ketua kampung, Tok Setiu juga berperanan sebagai guru silat dimana ramai penduduk yang belajar daripadanya. Dikatakan bahawa persilatan menjadi amalan utama dalam kehidupan penduduk Bukit Tok Setiu ialah kerana adanya satu temasya pertandingan silat. Temasya ini telah diadakan pada tiap-tiap tahun.

Tok Setiu meninggal dunia setelah bertikam dengan adiknya disebabkan oleh fitnah dan dikuburkan berhampiran dengan rumahnya. Kawasan perkampungan Tok Setiu sekarang telah dipenuhi dengan pokok getah dan semak samun. Tok Setiu memainkan peranan yang besar dalam sejarah kehidupannya dan banyak jasa-jasa yang ditinggalkannya. Kemasyuran nama Tok Setiu telah mendorong kepada penduduk kampung menamakan tempat itu sebagai SETIU hingga sekarang menjadi sebuah daerah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Popular Posts